Saturday, December 3, 2011

Pengurusan Masa


Pelajar perlulah bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulangkaji dengan aktiviti-aktiviti lain. Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam pelajaran. Sebagai pelajar anda mestilah:

  1. Pastikan waktu mengulangkaji anda lebih daripada 3 jam sehari. Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar sehingga 5 - 7 jam sehari. Jangan pula salah faham, maksud 5 - 7 jam ini bukanlah belajar secara berterusan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu subuh, 2 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 6 jam sehari.
  2. Tahap konsentrasi atau tumpuan belajar adalah berbeza. Ada pelajar yang boleh tumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20 minit. Jangan paksa diri anda. Sekiranya anda rasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika. Iaitu lebih kurang 5 minit. Selepas itu sambung semula belajar. Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang telah anda ketahui sebelumnya. 
  3. Dalam satu sessi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu. Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang telah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.
  4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar. Jumlah bahan yang mahu diulangkaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar yang telah ditetapkan. Misalnya, meletakkan matlamat untuk membaca 100 muka surat dalam masa 1 jam adalah tidak realistik. Sebaliknya, matlamat untuk menghabiskan dan memahami 20 mukasurat lebih munasabah dan boleh dicapai.
  5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan tetang bahan-bahan yang mahu diulangkaji. Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan. 
  6. Sediakan senarai tugas harian ("TO DO" lists) pada malam sebelumnya. Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari. Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan. Seperti yang dikatakan oleh Stephen Covey "Put first things first". 
  7. Rekodkan progress anda pada sehelai kertas. Setakat mana telah anda jayakan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai “to do” anda. 
  8. Ganjari diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan. 
  9. Gunakan teknik membaca yang berkesan. Membaca 1 jam penuh tumpuan lebih baik dari membaca 3 jam dengan fikiran melayang. 
  10. Fokus sekurang-kurangnya 50% daripada masa belajar anda terhadap proses “RECALL”. Iaitu proses memanggil semula maklumat. 
  11. Gunakan Kad Kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil diantara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas, dan lain-lain. Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya 1 - 2 jam dalam sehari. Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil. 
  12. Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten 1 jam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun? Kemana perginya lagi 350 hari masa anda?
  


Membaca Secara Berkesan


Membaca adalah satu proses yang sangat penting untuk mendapat ilmu dan maklumat. Kebanyakan pelajar mempunyai tabiat belajar yang buruk. Akibatnya mereka menghadapi masalah seperti cepat bosan, jemu, kurang minat, mengantuk dan sebagainya. Lama-kelamaan jika diteruskan juga akan membuatkan pelajar rasa malas untuk membaca. Kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan perlu ditanam dalam diri pelajar. Dengan ilmu manusia disanjung, dikagumi dan dihormati. Kejayaan dan kecemerlangan hidup tidak mungkin tercapai tanpa ilmu.

Persediaan Sebelum Membaca. 

Langkah-langkah yang berikut perlu diambil untuk memastikan pelajar mampu membaca secara berkesan.
1.       Pilih masa belajar yang sesuai. Waktu belajar yang paling sesuai ialah ketika kurangnya gangguan terhadap tumpuan. Badan tidak letih dan perut tidak terlalu kenyang. Waktu subuh adalah merupakan waktu yang paling ideal untuk belajar.
2.       Pilih suasana yang sesuai. Iaitu suasana yang terang, kemas, bersih, nyaman, tenang dan tersusun.
3.       Pastikan kedudukan badan yang betul dengan buku dijarakkan lebih kurang satu kaki dari mata.
4.       Mulakan dengan bacaan Bismillah dan doa agar diterangkan hati.

Pelbagai Cara Membaca. 

Terdapat tiga cara membaca bergantung kepada tujuan satu-satu sessi pembacaan itu dilakukan.
  • Membaca untuk hiburan. Membaca untuk tujuan berhibur tidak memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Bahan-bahan yang biasa dibaca ialah majalah, komik, novel, cerpen, akhbar dan sebagainya.
  • Membaca untuk mencari maklumat tertentu. Ada ketikanya anda membaca semata-mata untuk mencari maklumat yang tertentu sahaja. Anda boleh membaca seimbas dan pantas bagi mencari lokasi maklumat yang dicari. Anda perlu merujuk kepada isi kandungan dan indeks bagi mendapatkan maklumat dengan lebih cepat. Anda boleh terus membelek muka surat yang berkaitan dan memlambatkan bacaan anda bagi menyaring maklumat yang ada.
  • Membaca secara kritikal. Membaca cara ini perlu apabila anda membaca untuk memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya. Membaca secara kritikal adalah kaedah yang betul ketika menelaah mata pelajaran anda. Dengan menggunakan pendekatan ini, belajar nyata lebih seronok dan tidak membosankan. Minat juga mula terbit apabila anda mula memahami isi kandungan yang dibaca.
Langkah-langkah Membaca Secara Kritikal.
  • Melihat seimbas. Berikan perhatian kepada perkara-perkara yang berikut.
Lihat tajuk-tajuk kecil dan dapatkan perkaitan (jika ada) diantara tajuk-tajuk tersebut.
Amati seimbas rajah, peta, jadual, carta, radas,gambar dan sebagainya.
Lihat soalan-soalan yang ada termasuk soalan-soalan dibahagian belakang sesuatu bab / tajuk utama.
Catatkan sebarang persoalan (jika ada) yang timbul dalam fikiran pada sehelai kertas.

  • Baca pendahuluan dan kemudian baca bahagian kesimpulan / penutup.
  • Baca secara terperinci, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan. Terjemahkan setiap penjelasan dalam bentuk gambaran minda.
  • Jangan pindah perenggan selagi anda tidak memahami apa yang sedang dibaca. Perlahankan rentak bacaan anda apabila tiba dibahagian yang sukar. Ulang baca beberapa kali sekiranya perlu.
  • Gariskan fakta-fakta penting. Buatkan ringkasan kedalam nota peperiksaan anda.
  • 'Highlight' setiap kata kunci.
  • Gunakan kod warna misalnya warna kuning untuk nama orang, warna biru untuk tarikh dan sebagainya.
  • Yakinkan diri anda yang anda mampu menguasai bahan yang dibaca.
  • Setelah habis satu perenggan, tutup buku dan nota anda. Fikirkan atau gambarkan semula apa yang telah anda baca. Setelah habis satu tajuk kecil, ambilkan sehelai kertas dan lakarkan kembali apa yang telah anda baca dalam bentuk peta minda atau peta konsep.